PN umum calon PRK Ayer Kuning selepas 20 Mac - Utusan Malaysia

PN umum calon PRK Ayer Kuning selepas 20 Mac

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (tengah) mengibarkan bendera PN pada pelancaran jentera parti untuk PRK Ayer Kuning di Tapah semalam. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning iaitu dari Pas selepas 20 Mac ini.

Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pemilihan calon yang sesuai kritikal memandangkan PRK itu merupakan yang pertama di Perak selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Tidak muktamad lagi, akan dibincang pada 20 Mac, jadi akan diumum selepas 20 Mac. Senarai calon banyak, senarai pendek belum lagi. Calon tempatan pemuda, orang muda, tua, wanita semua ada akan dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya.

“Kita dah pilihan raya berpuluh tahun. Parti ada pengalaman untuk pilih calon insya-Allah (untuk menang PRK),” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada pelancaran jentera PN untuk PRK Ayer Kuning di Padang Awam Tapah Road di sini semalam.

Yang turut hadir Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merangkap Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin.

Sanusi yakin kemenangan calon PN pada PRK itu berdasarkan suhu politik semasa selain rasa tidak puas hati rakyat terhadap pentadbiran kerajaan.

“Walaupun keputusan PRK Ayer Kuning tidak akan mengubah landskap kerajaan yang dibentuk di Pusat atau negeri tapi inilah mesej untuk kita sampaikan semua pengundi bahawa masa kamu sudah sampai untuk kami tamatkan riwayat kamu dalam PRU16,” katanya.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRK itu 12 April, hari pengundian awal ditetapkan pada 22 April dan hari pengundian pada 26 April depan yang melibatkan 31,897 pemilih dengan peruntukan kos kira-kira RM2.5 juta.

Kerusi DUN Ayer Kuning menjadi kubu kuat BN sejak lapan penggal lalu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya