TAPAH: Perikatan Nasional (PN) mendesak polis menjalankan siasatan terhadap polemik kehilangan beras putih tempatan (BPT) agar mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.
Pengerusi PN Parlimen Tapah, Abd. Muhaimin Malek berkata, pihaknya kecewa terhadap sikap sambil lewa kerajaan menangani isu BPT terutama melibatkan penipuan oleh pihak kartel beras.
“Kenyataan bagai melepaskan batuk di tangga dengan mengatakan tiada peruntukan perundangan untuk mendakwa mereka yang terlibat dengan salah laku mencampurkan BPT ke dalam kampit beras import adalah satu kenyataan tidak bertanggungjawab daripada sebuah kerajaan.
“Walhal timbalan menteri dan ahli Parlimen daripada kerajaan yang sama, sebelum ini telahpun menyenaraikan peruntukan dalam undang-undang negara yang boleh digunakan, seperti Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Makanan 1983, serta akta lain seperti Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 18 (1) Akta Perdagangan Dalam Negeri 2020,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Abd. Muhaimin, kerajaan seharusnya lebih serius, berpihak kepada rakyat dan agresif dalam menjaga kepentingan orang ramai.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 50 peratus beras putih import yang berada di pasaran negara ini telah dicampur dengan BPT.
Perkara itu disahkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melalui analisis yang dilakukan ke atas 5,000 sampel kampit beras import.-UTUSAN