PM tuntut perbezaan pendapat diurus dengan baik

PM tuntut perbezaan pendapat diurus dengan baik

ANWAR Ibrahim (dua dari kiri) melihat replika Masjid Madani pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid Madani di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menuntut agar perbezaan dan percanggahan pendapat diuruskan dengan baik supaya tidak mewujudkan permusuhan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum di negara ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbezaan dan perbenturan idea serta pertelingkahan politik menyebabkan seolah-olah masyarakat Malaysia lebih banyak mencari permasalahan, menghukum dan membenci individu lain.

Katanya, ajaran agama Islam tidak mengajar umatnya untuk bertindak sedemikian, sebaliknya menuntut untuk mengangkat martabat kemanusiaan.

Jelasnya, Islam juga meminta umatnya melakukan dakwah dengan kesabaran, kebijaksanaan, kearifan, rahmah dan hikmah supaya penganut agama lain dapat membicarakan hal-hal baik tentang Islam termasuk masjid.

“Ini (supaya masyarakat bukan Islam) merasakan tidak ingin satu perseturuan, ini yang harus kita didik dalam (masyarakat) kita. Masjid (Masjid Madani) didirikan di tengah-tengah kota, saya mewakili pendapat seperti mana yang diulas oleh Abdul Rahman Ibnu Khaldun (iaitu) permulaan peradaban itu dari kota.

“Mencorak kota itu akan memberikan gambaran tentang bagaimana tamadun negara ini boleh dibangkitkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid Madani di Lot 328, Jalan Munshi Abdullah di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Masjid Madani seluas 12,142 kaki persegi akan dibina dengan empat tingkat yang dianggarkan boleh menampung sekitar 2,900 jemaah dalam satu-satu masa.

Pusat ibadah yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun itu bakal dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk dewan acara, pejabat serta kemudahan-kemudahan asas lain.

Anwar berkata, Masjid Madani yang dibangunkan di tengah-tengah Kuala Lumpur menggambarkan pembangunan Malaysia yang berakar kepada akidah Islam, meletakkan nilai dan akhlak baik.

“Dan menghimpunkan bukan sahaja umat Islam tetapi merangkul dan menunjukkan kasih sayang di kelilingnya (Masjid Madani).

“Anak India, Hindu, Buddhist atau Cina yang miskin itu, kita anggap (dan) rangkul dia sebagai anak-anak kita. Barulah ada kelainan fahaman Islam itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya