BAGAN SERAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa meninjau projek perkhidmatan dron pertanian meracun di Kampung Tebuk Haji Dollah, Selinsing, di sini hari ini.
Anwar yang diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad tiba sekitar pukul 6.30 petang dengan disambut oleh Pengerusi JPKK Kampung Tebuk Haji Dollah, Mohd. Arshad Sabri.
Pada tinjauan itu, Anwar diberi penerangan mengenai projek yang telah dilaksanakan sejak September lalu sebelum melihat dron tersebut diterbangkan dan menyembur racun di petak sawah.
JPKK Kampung Tebuk Haji Dollah merupakan antara komuniti yang memperoleh geran berjumlah RM100,000 melalui Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) yang disalurkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
Menurut Mohd. Arshad, 44, melalui program Sejati MADANI, JPKK memperoleh tiga unit dron bagi menjalankan perkhidmatan semburan baja dan racun membabitkan keluasan kawasan sebanyak 268 hektar.
Katanya, perkhidmatan itu kini diguna pakai oleh 40 peratus daripada 86 petani di kawasan berkenaan.
“Sejak September lalu, saya melihat terdapat peningkatan jumlah pelanggan apabila hampir setiap hari ada pelanggan baharu. Kaedah ini menjadi pilihan petani kerana semburan yang rata dan menjimatkan.
“Malah, kadar bayaran yang rendah kepada penduduk sekitar pada harga RM25 per ekar berbanding penyedia perkhidmatan luar antara RM35 ke RM40 menyebabkan pertambahan petani mendapatkan khidmat JPKK,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Mohd. Arshad, selain menjimatkan kos golongan petani dan membantu mereka menggunakan teknologi pertanian baharu, perkhidmatan dron itu secara langsung membantu meningkatkan pendapatan JPKK.
“Sebenarnya, yang paling utama kita mahu membantu petani mengurangkan kos selain mengatasi orang tengah yang suka menaikkan harga. Sejak projek ini dilaksanakan, ia telah memberikan pendapatan terkumpul sebanyak RM18,000 kepada JPKK,” katanya. – UTUSAN