KUALA LUMPUR: Seramai 10 wartawan veteran yang diuji dengan masalah kesihatan menerima sumbangan TabungKasih@Hawana yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sumbangan itu bagi membantu mengurangkan bebanan mereka dalam membuat persiapan menjelang sambutan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Ia disampaikan Perdana Menteri ketika menyantuni wartawan veteran berkenaan pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Pengamal Media di Angkasapuri di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Anwar turut meluangkan masa berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib bersama warga Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan pengamal media dari pelbagai agensi.
Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta Pengarah Urusan dan Pengarang Kumpulan Media Mulia, Mohamad Azlan Jaafar.
Penerima sumbangan pada majlis itu ialah tiga veteran New Straits Times (NSTP), Mohd. Zaini Sayuti, Salmah Mohsin dan Dzulkeffli Mustapha; tiga veteran Berita Harian (BH), Hariyati Ariffin, Akmal Abdullah dan Mohd. Ali Majid.
Selain itu dua veteran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) iaitu Fadzlon Ahmad dan Nik Mohamed Omar; veteran RTM, Hajrahbi Muhammad dan seorang lagi dari Utusan Melayu, Mohd. Ifqdar Abdul Rahman.
Sejak dilancarkan pada April 2023, Tabung Kasih@HAWANA telah memberi manfaat kepada 315 pengamal media seluruh negara. – UTUSAN