PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi penekanan kepada latihan guru sebagai agen perubahan yang mampu merubah ekosistem pendidikan di sekolah.
Perkara itu antara diberi tumpuan Perdana Menteri ketika mesyuarat bersama pengurusan tertinggi KPM di sini hari ini.
KPM dalam kenyataan memaklumkan, Perdana Menteri mahu semua murid menguasai Bahasa Melayu dengan baik dan pada masa sama, Bahasa Inggeris juga perlu dikuasai.
Dalam hal ini, penekanan utama diberi kepada kompetensi guru dan pembudayaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di setiap peringkat.
“Usaha bagi meningkatkan enrolmen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu melibatkan semua murid di semua jenis sekolah.
“Enrolmen STEM di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) pada waktu ini adalah sekitar 98 peratus. Tumpuan akan turut diberi kepada sekolah harian dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) untuk meningkatkan enrolmen STEM murid,” katanya.
Perdana Menteri turut menyentuh mengenai inisiatif Sekolah Angkat yang melibatkan rakan strategik korporat, pendidikan digital dan kecerdasan buatan (AI).
Dalam mesyuarat yang berlangsung lebih satu jam ini, Perdana Menteri diberi penerangan mengenai agenda Reformasi Pendidikan yang sedang giat berlangsung di setiap peringkat.
“Perubahan dan keperluan perlu dilaksanakan segera dalam pendidikan. Menjana perubahan segera dan radikal adalah penting. Jika tidak negara akan ketinggalan.
“KPM bertanggungjawab mempersiapkan tenaga kerja terlatih/profesional melalui pendidikan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja negara,” katanya.
Selain itu, KPM berkata, pelajar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) KPM mempunyai kebolehpasaran graduan yang tinggi melebihi 99 peratus.
Katanya, fokus utama pada waktu ini adalah untuk tujuan ‘upskilling’ pelajar TVET KPM bagi memastikan mereka mendapat upah/gaji yang setara dengan kebolehan setelah bergraduat.
“Bagi terus meningkatkan pendidikan teknikal dan vokasional, KPM akan memperkenalkan inisiatif TVET di SBP. Buat permulaan lima SBP akan dipilih bagi tujuan ini,” katanya.
Anwar turut diberi penerangan mengenai pelan pembangunan pendidikan yang baharu dan Kurikulum Persekolahan 2027.
Dalam pada itu, KPM berkata, inisiatif sekolah bertingkat dengan kerjasama rakan strategik korporat akan dilaksanakan bagi menangani isu kepadatan sekolah terutamanya di berkepadatan tinggi.
Katanya, Ia dapat mengurangkan kos projek dan pada masa sama memastikan infrastruktur dan akses pendidikan terbaik dapat disediakan untuk murid.
“Bagi tujuan tersebut, projek rintis bakal dilaksanakan di Putrajaya, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur bermula tahun ini,” katanya. – UTUSAN