KUALA LUMPUR: Cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja adalah langkah terbaik menarik anak muda menceburi bidang politik.
Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah berkata, cadangan itu juga dilihat sebagai platform bagi golongan muda menyerlahkan potensi sebagai seorang pemimpin seiring perkembangan dunia.
“Saya rasa di Malaysia pun eloklah kalau nak tarik banyak daripada bakat muda menyertai lapangan politik.
“Kalau mereka mempunyai potensi memimpin, kenapa tidak? Berilah (kepada mereka yang) mempunyai peluang dengan idea baru supaya cocok dengan perkembangan yang berlaku di sekeliling selepas dunia,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), di sini, hari ini.
Pada 16 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan memegang jawatan itu melebihi dua penggal atau maksimum 10 tahun.
Dalam ucapannya di Kongres Kebangsaan DAP ke-18, Anwar berkata, dia bersetuju dengan cadangan untuk mengehadkan tempoh perdana menteri kepada dua penggal sahaja.
“Saya bersetuju dengan beberapa cadangan (reformasi). Untuk mengehadkan perdana menteri untuk 10 tahun memegang jawatan.
“Kerana kita tahu jika ia mencecah 22 tahun, itu akan memusnahkan negara,” katanya. – UTUSAN