KUALA LUMPUR: Cadangan mengehadkan tempoh Perdana Menteri kepada 10 tahun atau dua penggal baik untuk kelangsungan kepemimpinan yang dinamik dan mengelak salah guna kuasa.
Dalam tinjauan Utusan Malaysia, orang ramai berpendapat had dua penggal bagi jawatan PM wajar dipertimbangkan bagi memastikan sistem pemerintahan negara lebih segar dan berdaya saing.
Pekerja Swasta, Adibah Aliah Abdul Talib, 24, berkata, pelaksanaan had penggal mampu mengelakkan seseorang pemimpin terlalu lama berada dalam jawatan, sekali gus mengurangkan risiko penyalahgunaan kuasa.
“Seseorang yang terlalu lama berkuasa mungkin kurang peka terhadap rakyat dan lebih fokus untuk mengekalkan jawatan.
“Pelaksanaan ini juga memberi peluang kepada pemimpin lain untuk tampil dengan idea baharu dan strategi lebih segar dalam mentadbir negara,” katanya.
Senada pandangan, peniaga, Maizun Niza, 32, berkata, cadangan itu sangat baik kerana kepimpinan negara perlu sentiasa segar dan dinamik agar dapat menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa.
“Apabila seorang pemimpin memegang jawatan terlalu lama, ada kemungkinan dia menjadi terlalu selesa atau kurang peka terhadap perubahan zaman.
“Dunia sentiasa berkembang, begitu juga dengan cabaran ekonomi dan politik dunia. Semuanya tidak sentiasa stabil.
“Jika kita mahu negara terus maju, kita perlukan pemimpin yang dinamik dan sentiasa membawa idea baharu. Dua penggal sudah cukup untuk seseorang membuktikan kebolehannya,” katanya.
Dalam pada itu, pekerja swasta, Nur Hafizh Asman, 25, berkata, had dua penggal mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri kerana bergantung kepada keupayaan individu dalam mentadbir negara.
“Dari satu sudut, ia boleh memastikan negara tidak bergantung terlalu lama kepada seorang pemimpin dan memberi peluang kepada generasi baharu untuk mengambil alih kepimpinan.
“Namun, jika rakyat masih menyokong seseorang pemimpin dan percaya kepemimpinannya membawa kemajuan, mengapa perlu ada sekatan?
“Saya lebih cenderung untuk menyerahkan keputusan kepada rakyat melalui pilihan raya kerana di situ adalah suara terbesar rakyat kepada pemerintah,” katanya.
Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan bersetuju dengan cadangan untuk mengehadkan tempoh sebagai Perdana Menteri kepada 10 tahun atau dua penggal sahaja.
Perdana Menteri berkata, jika cadangan itu mendapat sokongan dua pertiga daripada ahli Parlimen, ia boleh diusul dan desak Dewan Rakyat supaya meminda Perlembagaan.
Kata beliau, untuk mengubah had tempoh jawatan nombor satu kerajaan itu, ia melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dalam ucapannya di Kongres Kebangsaan DAP-18 sebelum ini berharap pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun dapat direalisasikan kerajaan.
Perkara itu terkandung dalam tawaran manifestasi Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya lalu. – UTUSAN