PETALING JAYA: Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri maksimum kepada 10 tahun atau dua penggal bertujuan mengelak berlakunya pemusatan kuasa yang berisiko menjadi ruang penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, langkah itu juga seiring dengan visi dan kerangka dasar reformasi yang ditekankan dalam gagasan ‘Membangun Negara Madani’ kerana ia bukan perkara baharu.
Beliau berkata, langkah itu juga bagi memastikan kesinambungan pentadbiran yang bersih serta sistem yang lebih teratur.
“Malah, terdapat juga beberapa negara yang telah melaksanakan pendekatan ini seperti negara jiran, Indonesia.
“Selain itu, langkah mengehadkan tempoh kepemimpinan seorang Perdana Menteri juga mengambil kira landskap geopolitik hari ini dan masa depan yang memerlukan iltizam semua pihak memberi ruang kepada nafas-nafas baharu dan barisan pelapis kepemimpinan negara,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Beliau berkata, Anwar turut memberi peringatan kepada segelintir pihak daripada blok pembangkang agar tidak menjadikan niat murni itu sebagai bahan politik perkauman sempit dan dangkal.
Jelasnya, roh dan sifat jawatan Perdana Menteri itu sudah terang lagikan bersuluh seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Mengehadkan tempoh jawatan itu nyata tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip asas tersebut. Malah, ia adalah langkah penting dalam menjamin kematangan demokrasi negara.
“Mana-mana Ahli Parlimen yang mempersoal perkara ini supaya membaca sebelum mengkritik secara semberono.
“Baca dan hadam buku tulisan Anwar Ibrahim, ‘Membangun Negara Madani’. Sila rujuk muka surat 181, di bawah tajuk ‘Dasar Keutamaan Untuk Malaysia yang Lebih Baik,” katanya. – UTUSAN