PETALING JAYA: Perdana Menteri hari ini menerima kunjungan kepemimpinan sebuah pertubuhan Islam dari Indonesia iaitu Muhammadiyah yang diketuai oleh Ketua Umumnya. Prof. Dr. Kiyai Haedar Nashir.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam pertemuan tersebut, beliau turut bertukar pandangan mengenai cabaran besar dihadapi umat Islam.
“Khususnya dalam bidang pendidikan, peradaban serta perkembangan geopolitik semasa yang memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada rantau ini.
“Pertemuan seperti ini bukan sahaja penting dalam mengeratkan silaturahim antara Malaysia dan Indonesia, malah akan memperteguhkan keyakinan dan iktikad baik kita untuk terus bekerja kuat.
“Insya-Allah, saya percaya melalui kerja keras dan kemahuan yang tinggi, Malaysia dan Indonesia boleh bekerja rapat dalam mengisi harapan ini,” kata beliau di Facebook hari ini.
Menurut Perdana Menteri, turut dibincangkan dalam pertemuan itu adalah mengenai idea Madani yang telah beliau kemukakan sebelum ini di Festival Istiqlal di Jakarta.
“Kami berbincang mengenai idea Madani yang telah saya kemukakan peringkat awal di Festival Istiqlal di Jakarta dan bersama pemikir lain dalam mencari perspektif yang lebih tepat berbanding memakai istilah masyarakat sivil (civil society) supaya Madani dipilih kerana sarat dengan nilai dan maknanya yang tersendiri,” katanya. – UTUSAN