PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan sumbangan kepada seorang nelayan di Kampung Cherating Baru, Kuantan yang sedang menghadapi kesusahan.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, Mustafa Muda bergantung hidup sebagai nelayan dan hanya meraih pendapatan sekitar RM1,300 sebulan tetapi tetap tabah menyara keluarga.
Menurut beliau, rumah yang didiami oleh keluarga Mustafa semakin uzur kerana dinding sudah semakin mereput, atap bocor dan lantai kediaman itu pula sedang menunggu masa untuk rosak.
“Atas keprihatinan ini, kerja-kerja baik pulih rumah Mustafa akan segera dilaksanakan agar keluarganya dapat tinggal dengan lebih selesa dan selamat.
“Saya juga menyampaikan sumbangan wang tunai daripada Perdana Menteri sebagai tanda sokongan kepada keluarga ini,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Ahmad Farhan berkata, keluarga Mustafa tidak meminta kehidupan yang mewah tetapi hanya mahukan tempat berteduh lebih nyaman.
“Semoga bantuan ini menjadi langkah awal ke arah kehidupan yang lebih sejahtera buat mereka sekeluarga,” katanya. – UTUSAN