PM ajak umat Islam hayati tarbiah Ramadan

PM ajak umat Islam hayati tarbiah Ramadan

ANWAR Ibrahim akan turun padang di seluruh negara sepanjang Ramadan bagi bertemu masyarakat serta memperkukuhkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam di Malaysia agar memperkukuh amalan dan ketakwaan dalam menghayati bulan Ramadan kali ini.

Beliau berkata, Ramadan adalah madrasah tarbiah ruhiyah yang mendidik dan menguji setiap insan, selain berperanan sebagai tonggak penting dalam membina serta membentuk kekuatan dalaman umat.

“Di saat dunia dirempuh kegelisahan materialisme dan kehampaan spiritual, cahaya Ramadan hadir sebagai penyuluh yang menerangi hati dan akal,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Anwar turut menegaskan kepentingan Ramadan dalam mengangkat dimensi sosial dan kemanusiaan khususnya dalam memupuk rasa prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik.

“Sewaktu kita mempunyai kesempatan beribadah, ada saudara kita yang masih berlindung di bawah runtuhan batu dan terus menjadi mangsa peluru tidak bermata,” katanya.

Perdana Menteri juga menekankan falsafah tertinggi Ramadan yang bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi mengajar setiap Muslim untuk merendahkan keangkuhan, menolak kezaliman dan mengekang ketamakan.

Beliau mengajak umat Islam untuk membersihkan hati daripada kebencian, memperkukuh nilai ihsan serta kembali kepada Allah SWT dengan keinsafan dan keampunan agar memperoleh keberkatan dan kesejahteraan.

“Jangan lupa untuk jauhi pembaziran dan berusaha untuk kembali kepada Allah SWT serta mohon keampunanNya dalam setiap sujud agar kita semua beroleh berkah dan kesejahteraan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya