KOTA KINABALU: PKR Sabah bersetuju secara sebulat suara agar jawatan presiden dan timbalan presiden PKR tidak dipertandingkan pada pemilihan parti yang akan berlangsung pada 24 Mei.
Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat cabang yang diadakan di 24 cabang, kecuali Cabang Beaufort yang masih berhadapan dengan bencana banjir.
Beliau, yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, kebanyakan usul yang diutarakan dalam mesyuarat di peringkat cabang adalah untuk tidak pertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden seperti yang dinasihati oleh ramai pimpinan parti.
“Kita pun berharap perkara ini dapat direalisasikan bagi mengurangkan pergeseran dalam parti sebab sekarang ini Perdana Menteri adalah Presiden PKR dan pimpinan utamanya adalah menteri-menteri kabinet.
“Saya fikir ini satu tindakan yang baik untuk mengurangkan pergeseran. Namun, kita tidak menafikan amalan sistem demokrasi dan kalau ada yang mahu bertanding, kita tidak halang,” katanya.
Di peringkat negeri, mereka bercadang menghantar Razeef Rakimin dan beberapa pemimpin yang berminat untuk bertanding di peringkat nasional. Biasanya, Sabah menghantar dua orang kerana Majlis Pimpinan Pusat (MPP) hanya mempunyai 20 kekosongan.
Malah, PKR Sabah telah berpakat dengan Sarawak agar tidak menghantar terlalu ramai wakil untuk seimbangkan wakil daripada Borneo.
Mengulas lanjut katanya, cabang-cabang telah dibubarkan dan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) juga sudah tidak berfungsi seperti biasa maka, biro politik akan menjadi ‘caretaker’.
Proses penamaan calon bagi ketua-ketua cabang yang baharu akan dilakukan pada 14 hingga 16 Mac depan dan tarikh mengundi dijadualkan pada 15 April.
Mustapha berkata, mereka juga akan melakukan proses undian secara dalam talian bagi mengurangkan kos dan juga karenah birokrasi yang menyusahkan ahli-ahli mengundi pimpinan parti. – UTUSAN