KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah mempunyai autonomi sendiri dalam menentukan rakan kerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin berkata, laporan yang menyatakan soal kerjasama menjelang PRN ditentukan PKR Pusat adalah satu kenyataan yang disalah tafsir.
Di peringkat negeri, PKR Sabah sememangnya mempunyai autonomi untuk menentukan agihan kerusi, rakan kerjasama serta manifesto yang akan dibawa bersesuaian dengan semangat Sabahan.
Beliau berkata, kenyataan Timbalan Bendahari PKR Sabah semasa Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Silam (Lahad Datu) telah disalah tafsir dan bercanggah dengan keputusan parti di peringkat negeri.
“Soal kerjasama dalam pilihan raya ditentukan oleh Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah sebelum diserahkan kepada pimpinan Pusat sebagai makluman sebelum diumumkan.
“Ini berbeza dengan laporan yang mendakwa kerjasama ditentukan oleh pimpinan Pusat. Justeru, saya meminta pimpinan parti di negeri ini untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa merujuk kepada MPN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pimpinan negeri telah memutuskan bahawa hanya Pengerusi dan Timbalan Pengerusi MPN sahaja yang boleh mengeluarkan kenyataan dan Ketua Penerangan diberi amanah selaku jurucakap parti.
Dengan itu, hanya Ketua Penerangan boleh mengeluarkan kenyataan selepas disahkan Biro Politik. Maka, beliau meminta pimpinan negeri agar menjaga disiplin dan tidak gelojoh mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa merujuk Majlis Pimpinan Negeri (MPN).
Semalam, Timbalan Bendahari PKR Sabah, Datuk Nordin Ening menyatakan PKR Sabah akan menunggu keputusan daripada kepimpinan Pusat dalam menentukan soal kerjasama menjelang PRN Sabah.-UTUSAN