PIP bakal jadi pusat utama pengendalian kargo Malaysia - Thailand

PIP bakal jadi pusat utama pengendalian kargo Malaysia – Thailand

ANTHONY Loke Siew Fook (tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Operasi dan Penyelenggaraan Antara KTMB dan IPPSB di IBC CVIA, Padang Besar, Perlis hari ini. - UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Projek Pelabuhan Darat Perlis (PIP) bakal menjadi pusat utama pengendalian kargo antara Malaysia dan Thailand selain turut berperanan sebagai pemangkin kepada aktiviti industri serta logistik di koridor utara. 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, buat masa ini, Terminal Kontena Padang Besar (TKPB) mengendalikan kontena dari selatan Thailand menuju ke Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Klang menggunakan perkhidmatan tren kargo.

Katanya, pada tahun lalu, pengendalian kontena di TKPB telah meningkat sebanyak 21 peratus berbanding 2023 dengan laluan kargo aktif dari Prai ke Kantang, Surat Thani dan Bangklam serta dari Pelabuhan Klang ke Hat Yai.

“Aliran trafik kargo dari selatan Thailand yang meningkat sepanjang tahun menyebabkan jumlah pengendalian kontena hampir mencapai 80 peratus kapasiti maksimum TKPB.

“Oleh itu, operasi TKPB akan dipindahkan ke PIP secara berfasa bertujuan bagi menampung aliran trafik kargo dari selatan Thailand serta mengurangkan kesesakan di Padang Besar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian operasi dan penyelenggaraan antara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Inland Port Perlis Sdn Bhd (IPPSB) di Pusat Perniagaan Bersepadu (IBC) Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), di sini, hari ini. 

Pemeteraian perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Datuk Mohd. Rani Hisham Samsudin dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif IPPSB, Arif Rida Shabaruddin. 

Mengulas mengenai perjanjian itu, Anthony Loke berkata, langkah strategik itu adalah bagi memastikan kelangsungan dan pertumbuhan industri logistik di kawasan utara Semenanjung Malaysia serta memperkukuhkan perdagangan rentas sempadan.

“KTMB selaku pengendali pengangkutan keretapi utama negara bersama IPPSB akan bekerjasama memastikan PIP berfungsi sebagai hab logistik yang cekap dan berdaya saing dalam memenuhi kehendak pelanggan,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mutiara Perlis Sdn. Bhd, Datuk Shabaruddin Ibrahim berkata, fasa satu PIP sedang dalam proses pembinaan dan dijadualkan siap pada bulan Julai ini.

Katanya, di bawah fasa satu pelaksanaan projek itu, PIP dijangka berupaya mengendalikan 300,000 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) setahun. 

“Jumlah ini meningkat berbanding 130,000 TEU setahun masa kini di TKPB malah menerusi pembangunan PIP fasa tiga kelak, keseluruhan kapasiti akan berupaya mengendalikan satu juta TEU setahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya