PUTRAJAYA: Siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati bahawa dana berjumlah AS$1 bilion milik syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dipindahkan ke dalam sebuah syarikat samaran tidak pernah mendapat kebenaran Lembaga Pengarah syarikat itu.
Bekas pegawai polis, Senior Asisten Komisioner (SAC), R. Rajagopal berkata berdasarkan siasatannya tiada arahan yang dikeluarkan oleh Lembaga Pengarah 1MDB supaya dana berkenaan dimasukkan dalam syarikat Good Star.
Menurut pembicaraan sebelum ini, dana AS$1 bilion itu dipindahkan dalam dua transaksi yang mana sebanyak AS$700 juta sebaliknya dimasukkan ke dalam syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, pada 2009 iaitu Good Star Limited dan AS$300 juta dipindahkan kepada syarikat usaha sama (JV), PetroSaudi International Ltd (PSI).
Rajagopal berkata demikian sewaktu pemeriksaan utama oleh peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin.
Saksi pembelaan ke-11 itu turut memberitahu, pemindahan wang kepada Good Star adalah bertentangan dengan keputusan Lembaga Pengarah.
Sepanjang perbicaraan yang bermula sejak tahun 2019, pelbagai bukti lisan dan dokumen telah dikemukakan di mahkamah untuk menunjukkan bahawa entiti luar pesisir itu pada satu ketika telah dikatakan sebagai anak syarikat PSI.
Pasukan pembelaan Najib, dalam pembelaan mereka menunjukkan bahawa bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu tidak mempunyai pengetahuan atau pembabitan dalam salah laku di 1MDB, dan penyelewengan didalangi oleh Jho Low dan ahli pengurusan syarikat itu.
Pada perbicaraan sebelum ini, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi ketika memberi keterangan memberitahu, berkata beliau melaporkan status terkini usahasama itu yang mana 1MDB membayar sahamnya sebanyak AS$1 bilion dalam dua transaksi berbeza.
Mahkamah juga diberitahu sebelum ini diberitahu bahawa tiada seorang pun daripada Ahli Lembaga Pengarah 1MDB mengetahui wang AS$700 juta dipindahkan ke sebuah syarikat yang dimiliki Jho Low.
Perjanjian usaha sama JvCo 1MDB-PSI telah meninggalkan hutang negara berjumlah AS$700 juta yang berpunca daripada pindahan dana berkenaan.
Najib sedang membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah di Istana Kehakiman bersambung 24 Mac ini.-UTUSAN