Pilu terima baju Melayu sehari selepas suami maut nahas

Pilu terima baju Melayu sehari selepas suami maut nahas

NOR Hafizah Mohd. Sheriff sebak ketika menunjukkan baju Melayu yang dibeli buat arwah suaminya yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya, kelmarin. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seorang isteri pilu selepas menerima bungkusan kiriman baju Melayu yang dibelinya secara dalam talian sehari selepas suaminya maut dalam kemalangan jalan raya kelmarin.

Nor Hafizah Mohd. Sheriff, 40, berkata, dia tidak dapat menahan rasa sedih kerana baju Melayu berwarna ungu itu tidak sempat dipakai arwah suaminya, Shamsul Rizal Ahmad Mustafa, 45, pada Aidilfitri kali ini.

“Baju ini harganya tidak sampai RM30 pun, ini memang ukuran badan arwah. Tahun lepas anak-anak pilih warna hitam, tahun ini warna ungu, arwah suami memang akan ikut sahaja permintaan anak-anak kami namun tahun ini kami tidak dapat lagi menyambut hari raya bersama,” katanya ketika ditemui di Desa Rimbunan Kaseh, di sini semalam.

Pagi hari Selasa lalu, Shamsul Rizal maut dalam kemalangan di Jalan Seremban-Tampin berhadapan Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, dekat sini.

Nahas membabitkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah kereta Perodua Alza dan dua buah motosikal. Mangsa yang menunggang motosikal maut ditempat kejadian selepas merempuh kereta dan motosikal yang membuat pusingan U dari arah bertentangan dan masuk ke laluan mangsa.

Allahyarham yang merupakan penghidap kanser limfoma tahap tiga juga merupakan salah seorang penerima sumbangan di negeri ini menerusi Program Jelajah Ikhlas dengan anjuran bersama syarikat Media Mulia Sdn. Bhd.

Nor Hafizah yang kini mengandungkan anak keenam memberitahu, ketika kejadian arwah suaminya itu dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja di Senawang bagi menguruskan pendaftaran prasekolah anak bongsu mereka.

“Sudah tidak jauh dari rumah, dalam kemalangan itu, motosikal ditunggang suami remuk teruk. Dia sudah empat tahun menanggung kesakitan penyakit, kini Allah beri dia ‘rehat’,” katanya yang memberitahu anak-anaknya merupakan penerima bantuan bulanan bantuan kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya