PUTRAJAYA: Mana-mana pihak yang menghina Islam akan dipanggil dan disiasat mengikut saluran undang-undang yang sedang berkuat kuasa ketika ini.
Penegasan itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar yang menyifatkan proses siasatan dan pendakwaan kes penghinaan Islam sebelum ini menunjukkan bahawa kepentingan awam diambil kira bagi menjaga keharmonian bernegara.
“Tindakan segelintir pihak yang gagal menghormati sensitiviti agama telah mencetuskan keresahan awam dan mencemarkan keharmonian yang dibina selama ini.
“Perbuatan seperti ini amat dikesali, kami menyeru semua pihak untuk menghormati undang-undang yang ada serta memberi ruang kepada proses siasatan untuk dilaksanakan dengan adil dan saksama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa konsisten memelihara kesucian agama Islam serta menjaga keharmonian dalam konteks kemajmukan masyarakat selaras Perlembagaan Persekutuan.
“Agensi juga menyokong penuh penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa kerajaan akan mengambil tindakan kepada sesiapa sahaja yang terlibat dengan perbuatan menghina agama tanpa pilih kasih.
“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam Negeri dalam memastikan kes penghinaan Islam dibawa ke muka pengadilan,” katanya. – UTUSAN