PUTRAJAYA: Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) mengedarkan 5,000 pek bubur lambuk secara percuma menerusi kaedah pandu lalu bagi meraikan Ramadan bersama warga Putrajaya.
Inisiatif itu merupakan sebahagian langkah tanggungjawab sosial korporat (CSR) dilaksanakan Putrajaya Leisures & Services Group Sdn. Bhd. (PULSE Group) di mana jumlah edaran meningkat kepada 5,000 berbanding 3,000 sebelum ini.
Ketua Eksekutif Kumpulan, PULSE Group, Abdul Rahim Md. Junoh, berkata, penambahan kuantiti agihan bubur lambuk pada tahun ini dilihat wajar bagi membolehkan lebih ramai warga Putrajaya merasai kelebihan resepi bubur lambuk.
“Ia adalah menu istimewa di bulan Ramadan yang disediakan khas oleh barisan chef kami yang berpengalaman.
“Program sebegini bukan sahaja memberi manfaat dalam menjalankan ibadah bersedekah di bulan Ramadan, malah dapat menitipkan semangat kerjasama serta jalinan silaturrahim antara kakitangan dan penduduk Putrajaya” katanya hari ini.
Jelasnya, resepi bubur lambuk PICC masih dikekalkan seperti tahun sebelumnya di mana sebanyaj 200 kilogram (kg) beras dan lebih 80 kg daging digunakan serta dimasak dalam lapan periuk.
“Selain itu, bersempena dengan Kepengerusian ASEAN di Malaysia, PICC tidak melepaskan peluang untuk turut terlibat sama dengan penganjuran festival Putrajaya Ramadan ASEAN Food Festival dengan kerjasama Putrajaya Holdings.
“Festival ini akan berlangsung serentak melibatkan tiga lokasi lain yang turut serta iaitu di Pulse Grande Hotel, Double-Tree by Hilton Putrajaya Lakeside dan The Everly Hotel Putrajaya sebagai initiatif menyatukan pelbagai juadah tradisional dan kontemporari ASEAN,” katanya. – UTUSAN