GUA MUSANG: Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan tiga lelaki membawa keluar lebih 500 batang balak dan kayu yang ditebang secara haram di kawasan pintu gerbang Sungai Sam, Paloh, di sini kelmarin.
Serbuan itu dijalankan kira-kira pukul 4 petang itu dibuat semasa Batalion 8 PGA menjalankan tugasan menerusi Op Bersepadu Khazanah di kawasan tersebut.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, tiga lelaki dilihat sedang mengumpul hasil hutan yang telah diproses semasa anggota PGA tiba di lokasi tersebut.
Katanya, pemeriksaan di kawasan tersebut menjumpai lebih 500 batang balak dan kayu yang sudah dipotong.
“Ketiga-tiga lelaki berusia 28 hingga 52 tahun itu bagaimanapun gagal menunjukkan sebarang permit atau lesen dari Jabatan Perhutanan berhubung kegiatan mereka di kawasan tersebut. Mereka dipercayai berperanan sebagai penghantar hasil hutan tersebut untuk dijual ke pasaran tempatan,” katanya hari ini. – UTUSAN