SEPANG: Pesawat Malaysia Airlines MH720 terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang semalam ekoran isyarat kebakaran yang dikesan ketika dalam penerbangan.
Malaysia Airlines dalam kenyataan memaklumkan, kru penerbangan dari Jakarta ke Kuala Lumpur segera melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan sebaik sahaja menerima amaran terbabit.
“Langkah berjaga-jaga termasuk penggunaan pemadam api di ruang kargo hadapan turut diambil bagi mengawal keadaan.
“Pesawat yang membawa 115 penumpang dan tujuh kru itu selamat mendarat pada pukul 6.18 petang waktu tempatan,” katanya.
Kata kenyataan itu, pesawat berkenaan kemudian diarahkan ke kawasan parkir terpencil dan semua penumpang serta kru berjaya keluar dengan selamat.
Pasukan bomba dan teknikal kemudiannya turut bersedia untuk menilai keadaan sebelum pintu kargo dibuka. – UTUSAN