Pesawah rugi RM250,000, sawah terjejas akibat air masin

Pesawah rugi RM250,000, sawah terjejas akibat air masin

LIM Ban Hong menunjukkan sebahagian daripada hasil tanaman padi yang tidak menjadi akibat bercampur air masin di Kampung Pulau Gadong, Melaka, hari ini. UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kira-kira 10 hektar sawah padi di Pulau Gadong, Setulang Daeng, dan Kampung Tengah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang di sini terjejas selepas dimasuki air laut.

Keadaan itu menyebabkan tanaman berkenaan tidak dapat membesar dan gagal mengeluarkan hasil.

Keadaan itu telah berlarutan sejak tiga minggu lalu yang menyebabkan seramai lapan pesawah mengalami kerugian dianggarkan mencecah RM250,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, punca utama kejadian ini disebabkan pintu kawalan air yang diuruskan secara manual.

Keadaan itu menurutnya telah mengakibatkan air laut masuk ke dalam sawah tanpa disedari ketika proses pengairan dilakukan.

“Keadaan ini amat merugikan pesawah, bukan sahaja bagi satu musim tetapi juga boleh menjejaskan musim seterusnya.

“Mereka telah mencuba pelbagai kaedah untuk meneutralkan air sawah, tetapi kandungan garam masih tinggi,” katanya selepas turun padang meninjau kawasan yang terjejas.

Menurut Ban Hong, DUN Klebang merupakan kawasan penanaman padi terbesar di Melaka dengan keluasan sawah mencecah 815 hektar dan menghasilkan kira-kira 60 tan padi setiap musim.

Namun katanya, insiden pencemaran air masin ini boleh menjejaskan produktiviti pesawah dan agenda keterjaminan makanan negara jika tidak ditangani segera.

“Penyelesaian utama adalah menaik taraf sistem kawalan air dengan teknologi moden bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

“Saya akan membawa masalah ini ke Kementerian Pertanian untuk melihat bentuk bantuan segera yang boleh disalurkan, termasuk daripada segi pembajaan dan baik pulih tanah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya