SEREMBAN: Dua individu di Nilai di sini mengalami kerugian mencecah keseluruhan berjumlah RM349,086 selepas terpedaya sindiket penipuan melalui panggilan telefon awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kes pertama melibatkan seorang pesara kerajaan berusia 66 tahun yang menerima panggilan telefon daripada individu menyamar sebagai pegawai polis.
“Mangsa diberitahu telah terlibat dengan kes penggubahan wang haram dan pengedaran dadah dan waran tangkap telah dikeluarkan ke atas namanya.
“Mangsa bimbang telah membuat pindahan wang secara dalam talian sebanyak sembilan kali transaksi ke dalam lapan akaun bank yang berbeza melibatkan jumlah sebanyak RM163,000,” katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu, Abdul Malik berkata, kes kedua pula melibatkan seorang suri rumah berusia 54 tahun yang menerima panggilan daripada sindiket yang menjalankan modus operandi yang sama.
“Mangsa telah membuat pindahan wang secara dalam talian sebanyak sembilan kali transaksi ke dalam lapan akaun bank yang berbeza, dengan melibatkan jumlah RM186, 000. Panggilan yang diterima kedua-dua mangsa adalah pada 7 sehingga 22 Mac lalu,” katanya.
Berikutan itu, ujar beliau, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis (IPD) Nilai telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Siasatan juga sedang dijalankan untuk mengesan dan menangkap suspek,” katanya. – UTUSAN