KOTA KINABALU: Seorang pesara ditahan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu bagi penugasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berjumlah RM60,000.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan suspek lelaki berusia 60-an itu kira-kira pukul 9.45 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Keningau.
Menurut sumber, suspek dipercayai melakukan perbuatan itu antara Mac 2020 hingga Ogos 2021.
“Suspek juga disyaki mengemukakan dokumen tuntutan elaun penugasan pelaksanaan PKP atas nama anak dan isterinya sedangkan mereka tidak pernah hadir bertugas,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan menyatakan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Katanya, suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pada 14 Mac ini. – UTUSAN