PETALING JAYA: Seorang doktor pakar memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa tahap pertuturan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin ketika berusia dua tahun pada tahap teruk.
Menurut pegawai perubatan di Jabatan Otorhinolaryngologi (ORL) Hospital Sungai Buloh, Dr. Hanisah Abd. Nasir, ketika Zayn Rayyan menjalani terapi pertuturan pada umur dua tahun, kanak-kanak itu didiagnos sebagai ‘Kelewatan Bahasa Reseptif dan Ekspresif’ tahap teruk.
Sehubungan itu, pihak hospital telah memberikan pelan strategi latihan diberikan kepada ibunya, Ismanira Abdul Manaf sebagai bahan terapi di rumah.
“Berdasarkan pemahaman saya, kerana keadaan di waktu terapi menunjukkan jelas perbezaan pesakit hampir dua tahun. Sebagai contoh umum, pesakit berumur 2 tahun tetapi tahap bahasa seperti bayi berumur 10 bulan.
“Jadi maksudnya tahap teruk disebabkan perbezaan hampir dua tahun dari keadaan sebenar,” kata saksi itu ketika dirujuk kepada laporan perubatan kanak-kanak tersebut yang ditulisnya.
Saksi pendakwaan ke-23 itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi.
Menurut Dr. Hanisah, kanak-kanak autisme itu juga tidak menunjukkan sebarang minat semasa menjalani ujian pendengaran.
“Untuk pesakit seumur lebih kurang dua tahun, kita akan mulakan dengan percubaan ujian pre-audiometri yang mana pesakit diperlukan untuk mengikut arahan dan secara bermain. Hasil ujian pendengaran akan dapat dilihat berdasarkan respon daripada pesakit.
“Tetapi untuk kes ini, pesakit tidak berminat dengan tidak langsung mengikut arahan. Jadi tarikh temujanji yang baharu diberikan,” katanya.
Bagaimanapun, kata Dr. Hanisah, laporan perubatan yang ditulis itu hanyalah berdasarkan rekod perubatan sedia ada tanpa mengendalikan kanak-kanak itu secara langsung.
Pada 13 Jun 2024, bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira; kedua-duanya berusia 30 tahun, mengaku tidak bersalah mengabaikan kanak-kanak itu.
Mengikut pertuduhan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, pasangan tersebut didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam, 6 Disember 2023, di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN