PETALING JAYA: Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk menjual pesawat pejuang MiG 29N dan Aermacchi MB-339CM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang kini tidak lagi beroperasi kepada negara lain.
Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) berkata, langkah tersebut dibuat sebagai timbal balik bagi mendapatkan alat ganti dan menjimatkan kos penyelenggaran pesawat pejuang SU-30MKM.
“Saya difahamkan ada negara minat dengan pesawat tersebut disebabkan penyelenggaran yang baik dan jumlah jam penerbangan yang tidak terlalu tinggi.
“Kerajaan boleh menjual kepada Sudan atau India sebagai timbal balik untuk mendapatkan alat ganti pesawat SU-30MKM. Tambahan pula dengan kesan Ukraine dan Rusia menyebabkan alat ganti sukar untuk didapati,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2024) di Dewan Rakyati hari ini
Sebagai rekod, TUDM mula mengoperasikan 18 buah jet pejuang MiG 29N /NUB buatan Rusia sejak 1995.
Dalam laporan ebelum ini, beberapa pesawat MiG 29N akan dipindahkan ke beberapa lokasi sebagai monumen. – UTUSAN