PETALING JAYA: Bagi menyediakan platform berkarya buat penggiat seni, pertandingan Thousands Of Years Media (ToYm) dianjurkan dengan tawaran hadiah lumayan bernilai RM495,000.
Tiga kategori bakal dipertandingkan menerusi penganjuran ini antaranya Pertandingan Penulisan Skrip, Pertandingan Bintang Idol dan Pertandingan Drama Micro Series Terbaik.
Bagi kategori Pertandingan Penulisan Skrip Micro Series, peserta boleh menyediakan skrip asli untuk drama bersiri 30 episod dengan durasi tayangan dua minit setiap episod.
Peserta bebas memilih tema sendiri dan juara berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM30,000 diikuti RM20,000 di tempat kedua dan RM5,000 untuk hadiah sagu hati.
Penyertaan untuk kategori ini boleh dihantar pada 4 Mei dan finalis bakal diumumkan pada 23 Mei nanti.
Dalam pada itu, bagi kategori Bintang Idola ToYm Shining Star, peserta mestilah berusia antara 18 hingga 30 tahun. Pendaftaran pertandingan boleh dilakukan dalam talian bermula 8 April ini.
Pemenang berpeluang membawa pulang hadiah berjumlah RM220,000, kontrak bakat dan trofi edisi terhad.
Bagaimanapun, bagi kategori Pertandingan Drama Mikro Terbaik, penganjur berhasrat mencari tujuh drama mikro 10 episod dengan durasi satu hingga dua minit setiap episod. Peserta bebas memilih tema mengikut kreativiti masing-masing.
Peserta berpeluang membawa pulang hadiah utama bernilai RM100,000, RM50,000 dan RM10,000.
Penyertaan boleh dihantar bermula 28 Mac hingga 15 Mei ini di laman sesawang mereka. Keputusan bagi tujuh drama siri terbaik akan diumumkan pada Keputusan tujuh yang terbaik akan diketahui pada 30 Mei ini.
Menerusi tiga kategori pertandingan ini, ToYm berhasrat mengumpulkan bakat baharu selain membantu pertumbuhan industri budaya dan kreatif negara. -UTUSAN