MELAKA: Aidilfitri tahun ini tidak lagi sama bagi Harraz Zharfan Khan Najib Khan, 12, apabila terpaksa menyambutnya tanpa kehadiran insan tersayang.
Kehilangan bapanya, Najib Khan Hazam Khan, 47, yang meninggal dunia sehari sebelum Ramadan lalu, meninggalkan kesan yang mendalam dalam hidupnya.
Harraz Zharfan memberitahu, persiapan raya tidak lagi seperti dulu kerana sebelum ini bapanya yang selalu sibuk memastikan segala keperluan mencukupi.
Katanya, kali ini semua itu dilakukan oleh ibunya, Syikin Rosli, 43.
“Dulu abah selalu belikan baju raya saya. Tahun ni, saya beli dengan mak, tapi rasa tak sama.
“Kalau sebelum ini, saya berbuka dengan abah, lepas tu kami naik motosikal pergi solat tarawih sama-sama. Sekarang, saya kena pergi dengan pakcik, semua tidak sama lagi” luahnya sayu.
Kanak-kanak itu ditemui pada Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Duit Raya kepada anak-anak yatim dan asnaf, anjuran Majlis Datuk Datuk Negeri Melaka (MDDNM) di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini semalam.
Lebih memilukan, Harraz Zharfan memberitahu, bapanya ada berjanji untuk menghadiahkannya Harraz sebuah skuter elektrik sebelum raya ini.
“Abah janji nak belikan skuter elektrik sebelum raya, tapi dia dah tak sempat. Setiap hari, abah akan menelefon saya dari tempat kerja, berbual dengan saya, tanya saya tengah buat apa, kini saya merindui panggilan telefon daripada abah,” katanya lagi.
Bagi Harraz, kehilangan bapanya bukan hanya satu kejutan, tetapi juga satu kehilangan besar yang sukar diganti.
“Mak selalu cakap hidup mesti diteruskan, tapi saya tetap rindu abah,” katanya.
Akhbar pada 1 Mac lalu melaporkan, Allahyarham Najib Khan maut selepas motosikal Yamaha Y15R yang ditungganginya bergesel dengan sebuah bas di Jalan Tun Abdul Razak, Melaka Tengah.
Kejadian berlaku sekitar pukul 3.10 petang selepas solat Jumaat dan arwah disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan. – UTUSAN