PETALING JAYA:Pelaksanaan semula kadar fi lesen hotel 1966 oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang meningkat secara mendadak mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengusaha hotel, terutama hotel bajet dan penginapan berskala kecil.
Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr. Sri Ganesh Michiel berkata, DBKK kini menggunakan kaedah pengiraan fi lesen berdasarkan hasil pendapatan hotel, yang dibahagikan secara harian dan dibayar mengikut bulan, sekali gus menambah tekanan kewangan kepada pengusaha.
Menurutnya, pendekatan itu secara tidak langsung menukarkan fi lesen kepada bentuk cukai yang berubah-ubah dan bukannya kos pentadbiran tetap, sekali gus menjejaskan kestabilan operasi perhotelan.
“Kaedah ini menghukum hotel berdasarkan prestasi perniagaan mereka, mencetuskan ketidaktentuan kewangan yang menghalang pertumbuhan dan pelaburan dalam sektor perhotelan Kota Kinabalu.
“Ia juga akan menyebabkan kenaikan harga bilik, sekali gus menjejaskan akses golongan berpendapatan rendah kepada penginapan mampu milik,” katanya dalam satu kenyataan.
Sri Ganesh berkata, ketidakadilan dalam pelaksanaan fi lesen berbanding Penginapan Sewa Jangka Masa Pendek (STRA), yang tidak dikenakan peraturan atau fi lesen sama seperti hotel berlesen.
Katanya, hotel sah dibebani dengan cukai tinggi dan peraturan ketat, manakala pengusaha STRA bebas beroperasi tanpa kawalan justeru DBKK perlu menguatkuasakan langkah sama terhadap STRA bagi memastikan persaingan yang adil.
“Saya mencadangkan pengenalan cukai pelancongan peringkat negeri yang lebih telus, stabil, dan diedarkan secara adil bagi menggantikan fi lesen yang berubah-ubah.
“Dana daripada cukai ini boleh digunakan untuk pembangunan pelancongan Sabah, penambahbaikan infrastruktur, serta usaha pemasaran yang menguntungkan keseluruhan industri, bukan hanya pihak berkuasa tempatan,” katanya. – UTUSAN