Perompak telan subang berlian RM3.4 juta - Utusan Malaysia

Perompak telan subang berlian RM3.4 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FLORIDA: Seorang suspek rompakan didakwa menelan dua pasang subang berlian semasa ditangkap di tepi lebuh raya Florida Panhandle minggu lalu.

Menurut detektif, kejadian itu tugas yang sukar buat pihak berkuasa kerana perlu menunggu untuk mendapatkan semula barang kemas Tiffany & Co bernilai hampir AS$770,000 (RM3.6 juta) yang ditelan suspek.

Menurut laporan penangkapan, seorang anggota polis negeri mendengar suspek berkata dalam kereta polis bahawa dia sepatutnya membuang barang kemas itu keluar tingkap.

Di penjara Washington County, suspek bertanya kepada kakitangan sama ada dia akan didakwa atas apa yang ada dalam perutnya.

Lelaki berusia 32 tahun dari Texas itu dituduh melakukan dua kesalahan jenayah kerana merompak subang berlian dari sebuah pusat membeli-belah mewah di Orlando minggu lalu.

“Objek asing ini disyaki sebagai subang Tiffany & Co yang dirompak, tetapi ia perlu dikutip selepas ia dikeluarkan,” menurut laporan penangkapan jabatan polis Orlando.

Semasa kejadian rompakan, suspek didakwa memberitahu kakitangan jualan Tiffany bahawa dia berminat untuk membeli subang berlian dan cincin berlian bagi pihak seorang pemain bola keranjang Orlando Magic.

Kakitangan jualan kemudian membawa suspek ke bilik VIP untuk melihat barang kemas tersebut sebelum suspek melompat dari kerusinya, merampas barang kemas itu, dan cuba melarikan diri tidak lama kemudian.

Seorang kakitangan jualan cedera ketika cuba menghalang suspek tetapi berjaya menjatuhkan cincin berlian bernilai AS$587,000 (RM2.7 juta) dari tangan suspek.

Detektif memperoleh plat lesen kereta suspek melalui rakaman keselamatan pusat membeli-belah dan percaya suspek sedang memandu kembali ke Texas sebelum menjejaki kereta suspek melalui pembaca plat di Florida Turnpike dan Interstate 10 sehingga dia ditahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya