KUALA LUMPUR: Perwira Niaga Malaysia (Pernama) menyumbang sebanyak 20,016 unit biskut raya pelbagai aneka bernilai RM100,000 untuk warga Angkatan Tentera Malaysia bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Pengerusi Pernama, Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata, sumbangan yang diberikan itu merupakan antara yang tertinggi oleh organisasi itu sekali gus menjadikan usaha kali ini berbeza dari tahun sebelumnya.
“Memang sudah menjadi tradisi setiap kali perayaan Aidilfitri, Pernama akan memberi sumbangan tetapi tahun ini merupakan nilai yang tertinggi yang pernah diberikan iaitu biskut raya pelbagai jenis dengan nilai RM100,000.
“Biskut raya pelbagai aneka daripada Pernama sebenarnya jumlahnya sebesar satu kontena untuk disumbangkan. Kami berharap agar ia dapat diagihkan dalam keadaan baik kepada anggota bertugas pada Syawal ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada ATM di Auditorium Wisma Pertahanan, hari ini.
Tambah Abdul Aziz, sumbangan itu juga merupakan salah satu inisiatif bagi memperluas keluaran produk Pernama di seluruh Malaysia.
“Selain itu, sumbangan ini juga bagi meringankan beban warga ATM pada musim perayaan selain daripada usaha mensubsidi harga barangan di kedai runcit Pernama yang sedia ada,” katanya. – UTUSAN