PETALING JAYA: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memerlukan sekurang-kurangnya RM600,000 dalam simpanan caruman mereka bagi menampung kehidupan selepas bersara.
Jumlah simpanan itu bagi memastikan usia emas mereka dinikmati dengan selesa tanpa bimbang berhadapan tekanan kos sara hidup.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, jumlah tersebut adalah keperluan minimum tidak termasuk kos rawatan kesihatan dan tabungan kecemasan.
“Dengan jangka hayat purata rakyat Malaysia kini mencecah 75 tahun, kebanyakan pesara perlu bertahan sekurang-kurangnya 15 tahun selepas bersara.
“Jika dianggarkan perbelanjaan asas bulanan mencecah RM3,000, ini bermakna seseorang pesara perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM540,000 bagi menampung kos sara hidup mereka,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan kira-kira 85 peratus rakyat terpaksa bekerja sepanjang hayat bagi menampung keperluan hidup kerana tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk bersara.
Aimi berkata, jumlah RM540,000 itu tidak mengambil kira faktor seperti kadar inflasi yang dianggarkan meningkat dua peratus setiap tahun serta pulangan simpanan tetap sekitar dua hingga tiga peratus.
Katanya, perbelanjaan asas itu turut merangkumi keperluan utama seperti tempat tinggal, makanan, utiliti, pengangkutan dan internet.
“Keadaan akan menjadi lebih kritikal bagi pasangan suami isteri jika hanya seorang yang bekerja dan bergantung sepenuhnya kepada simpanan persaraan,” jelasnya.
Aimi berkata, lebih membimbangkan, jumlah RM3,000 sebulan ini jauh lebih rendah berbanding purata pendapatan isi rumah nasional yang dianggarkan RM8,479 sebulan.
Katanya, di Selangor, purata pendapatan isi rumah adalah RM9,983, manakala di Perlis sekitar RM5,664. Ini menunjukkan bahawa kos sara hidup boleh berbeza mengikut negeri dan mempengaruhi keperluan simpanan persaraan.
“Pesara juga perlu mengambil kira perbelanjaan luar jangka seperti perubatan, rawatan kesihatan dan majlis keraian keluarga.
“Jika simpanan hari tua digunakan untuk menampung perbelanjaan ini, pesara berisiko kehabisan dana lebih awal daripada jangkaan,” katanya.
Katanya, KWSP disarankan untuk terus mengukuhkan strategi pelaburan dan memberikan pulangan dividen yang lebih kompetitif bagi membantu pencarum mencapai sasaran simpanan yang mencukupi.
“Bukan itu sahaja, pencarum juga dinasihatkan untuk merancang persaraan lebih awal dan mencari alternatif seperti pelaburan jangka panjang serta perlindungan insurans bagi memastikan kestabilan kewangan pada usia emas,” katanya. – UTUSAN