PUTRAJAYA: Tiga platform media sosial iaitu X, Google dan Meta belum memberi kata putus berhubung perlesenan platform media sosial.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, proses perbincangan itu masih berlangsung dan mereka (platform) ada hujah-hujah berbeza.
“Mereka ada hujah berbeza dan kita beri sedikit masa. Bagi X, mereka masih berpandangan bahawa mereka tidak ada jumlah yang mencukupi. Kita akan berikan mereka sedikit masa lagi,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Katanya, syarikat berkenaan masih berpandangan bahawa mereka memerlukan lebih banyak maklumat bagi melengkapkan perbincangan tersebut.
Malaysia telah memperkenalkan pelesenan platform media sosial berkuat kuasa 1 Januari lalu bertujuan memastikan pengendali lebih bertanggungjawab dalam menguruskan platform masing-masing, di samping memastikan kandungan yang berbahaya termasuk lucah, perjudian dan penipuan dikekang.
Setakat ini, hanya tiga syarikat penyedia perkhidmatan pesanan internet dan penyedia perkhidmatan media sosial telah dilesenkan iaitu WeChat International Pte Ltd (WeChat), TikTok Pte Ltd (TikTok) dan Telegram Messenger Incorporated (Telegram) pada 2 Januari 2025.
Ditanya sama ada kerajaan akan menyemak semula akta atau undang-undang berkaitan susulan isu terkait raja, agama dan kaum (3R) ketika ini, Fahmi berkata, kerajaan telah meluluskan Akta Keselamatan Dalam Talian dan ia akan diwartakan tidak lama lagi.
“Sebaik ia diwartakan, beberapa proses perlu dituruti sebelum beberapa tindakan boleh diambil. Kita akan turuti proses tersebut,” katanya. – UTUSAN