TAPAH: Barisan Nasional (BN) tidak perlu memikirkan hal dalaman parti lawan sebaliknya memperkukuhkan persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebarang pergolakan yang berlaku dalam kem pembangkang termasuk melibatkan kedudukan Pesuruhjaya Pas Perak bukanlah hal yang perlu diberi tumpuan.
“Saya beritahu kepada jentera kita buat kerja kita, kemaskan diri kita. Sama ada siapa sahaja menjadi ketua pembangkang, jadi Pesuruhjaya Pas, ia tidak memberi kesan kepada kita.
“Apa yang penting jentera BN mesti kemaskan diri masing-masing. Jika berlaku kelemahan di peringkat lawan, itu bonus kepada kita,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Santunan Kasih Kerajaan Negeri Perak bersama penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak di Dewan Serbaguna Air Kuning, di sini hari ini.
Pada program itu, seramai 300 ketua isi rumah bagi kawasan DUN Ayer Kuning menerima bantuan JKM mengikut kategori membabitkan peruntukan RM150,000 sebulan.
Sebelum ini, media melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria direhatkan daripada tugas Pesuruhjaya Pas Perak.
Difahamkan, keputusan itu dibuat selepas Razman terpalit dengan beberapa isu antaranya beliau mengaitkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dengan Kumpulan YTL Corporation Berhad (YTL).
Razman bagaimanapun mengemukakan permohonan maaf kepada Hannah selepas mengakui wujud kesalahan fakta dalam ucapannya yang mendakwa pemimpin DAP itu sebagai ‘anak YTL’.
Tugas Pesuruhjaya Pas negeri kini dipangku oleh Naib Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad. – UTUSAN