IPOH: ‘Perjuangan akan diteruskan walau apa posisi kita’.
Demikian hantaran dalam akaun Facebook Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria yang dilaporkan telah direhatkan daripada tugas sebagai Pesuruhjaya Pas Perak.
Razman membuat hantar tersebut bersama gambar beliau merasmikan Mesyuarat Pas Cawangan Kampung Lenggong petang tadi.
“Alhamdulillah, pakteh merasmikan Mesyuarat PAS Cawangan Kampung Lenggong petang tadi. Insya-Allah, perjuangan akan diteruskan walau apa posisi kita. Siiru ‘ala barakatillah,” katanya dalam hantaran tersebut.
Terdahulu hari ini media melaporkan Razman telah direhatkan daripada tugas Pesuruhjaya Pas Perak.
Malah, dalam poster ucapan selamat menyambut Ramadan, tidak disertakan jawatan Razman sebagai Pesuruhjaya Pas Perak.
Sebaliknya poster tersebut hanya menyertakan jawatan Razman sebagai Ketua Pembangkang DUN Perak, ADUN Gunung Semanggol dan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak.
Sementara itu, usaha Utusan Malaysia mendapatkan pengesahan mengenai laporan tersebut daripada pemimpin Pas Pusat dan Razman sendiri setakat ini masih belum berhasil.
Panggilan telefon dan pesanan WhatsApp yang dihantar belum berjawab. – UTUSAN