TANAH MERAH: Seorang remaja yang putus pergelangan tangan kirinya akibat terkena letupan mercun buatan sendiri di asrama sebuah sekolah agama di Jeli l, dekat sini, kelmarin selamat menjalani pembedahan di Hospital Tanah Merah, semalam.
Kejadian itu menyebabkan pergelangan tangan Afiq Amsyar Lamizul, 16, tidak dapat diselamatkan manakala rakannya, Mohd. Iman Baihaki, 15, dan seorang lagi yang belum dapat dikenal pasti identitinya dilaporkan berada dalam keadaan stabil di hospital berkenaan.
Ibu kepada Afiq Amsyar, Rosidah Razali, 38, berkata, anaknya selesai menjalani pembedahan membuang bahagian pergelangan tangan kirinya apabila salah satu jari didapati sudah mati akibat letupan botol yang berisi belerang dan batu kerikil.
Menurutnya, selain itu, anaknya turut cedera pada badan dan kedua-dua kaki selepas terkena percikan serpihan botol.
“Saya mengetahui kejadian menimpa Afiq Amsyar selepas dihubungi oleh penyelia asrama sekolah kira-kira pukul 4 petang.
“Saya dan suami ketika itu berada di Kota Bharu terus ke Hospital Jeli kira-kira pukul 8 malam. Saya tergamam dan terkejut melihat tangan anak berbalut dengan berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di Hospital Tanah Merah.
Rosidah memberitahu, anaknya ketika itu sedang menangis akibat kesakitan selepas letupan mercun itu menyebabkan pergelangan tangan kirinya hancur.
Katanya, Afiq Amsyar bersama dua rakannya kemudian dipindahkan ke Hospital Tanah Merah untuk menjalani pembedahan dan rawatan lanjut.
“Saya dapat maklumat, Afiq Amsyar membeli mercun bola di sebuah kedai yang terletak berdekatan asramanya di Ayer Lanas. Difahamkan, dia bersama dua rakannya mengubah suai mercun tersebut dengan mengambil belerangnya sebelum diisi ke dalam botol,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang remaja putus pergelangan tangan kiri manakala dua rakannya melecur pada bahagian badan mereka selepas dipercayai terkena letupan mercun buatan sendiri dalam kejadian di asrama sebuah sekolah agama di Jeli. – UTUSAN
250325-Klt-PutusTangan Mercun
-habis-