KUALA LUMPUR: Pernah dinobatkan sebagai band paling popular, Anugerah Bintang Popular 2009, vokalis 6ixth Sense, Adi Priyo menceritakan pengalaman dicium seorang perempuan ketika sesi temu dan mesra.
Mengimbau kembali insiden itu, kumpulan 6ixth Sense sedang melakukan sesi bertemu peminat sempena pelancaran album kedua mereka dengan judul yang sama pada 2007.
“Perempuan itu peminat dari Indonesia, mungkin terlalu teruja sehingga dia datang dan terus cium di pipi. Ketika itu saya terkejut, ‘apa benda ini’ kata saya dalam hati.
“Saya fikir, itu adalah perkara paling ‘gila’ yang peminat buat semasa zaman kemuncak kegemilangan 6ixth Sense. Tapi saya tidaklah trauma,” katanya ketawa.
Adi ditemui Utusan Malaysia di majlis Jalinan Iftar di Sudu House, Kuala Lumpur, semalam.
Mewakili 6ixth Sense, penyanyi Khatimah Cinta itu mengakui band tersebut sedang dalam proses mengumpulkan bahan menghasilkan single baharu.
Bagaimanapun, band tersebut masih mencari hala tuju muzik yang sesuai dengan peredaran zaman walaupun terkenal membawakan lagu bergenre ‘Japanese Rock’ sebelum ini.
“Kami mahu hasilkan single baharu tapi sedang mencari bahan. Saya fikir lagu seperti Tanpamu atau Khatimah Cinta seperti tidak kena jika diterbitkan sekarang. Walaupun begitu, kami ambil pendekatan ‘try and error’.
“Mungkin kita akan keluarkan semula lagu-lagu yang kita pernah peram dan nilai semula. Sukar meramal muzik zaman ini.
“Pasaran dahulu kita boleh kawal apa yang orang mahu dengar, mesti apa yang dimainkan di radio. Sekarang semua orang boleh dengar di mana-mana jadi sukar untuk kita meramal trend semasa,” katanya.
Bulan lalu, 6ixth Sense yang dianggotai Mohd. Faiz Azizi (Gjie), Shahrul Effendy (Athan), Muhamad Fairos (Ayoy) dan Safwan Hasnan (Wan) baru selesai mengadakan konsert Hori2ontal di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert tersebut dihadiri kira-ira 2,500 pengunjung sempena meraikan 20 tahun penubuhan 6ixth Sense. -UTUSAN