KUALA LUMPUR: Impian pereka fesyen, Amar Amran untuk terjun ke bidang nyanyian terlaksana menerusi penghasilan lagu Raya Sehati Sedondon.
Lebih menggembirakan hati pemilik butik Amar Amran ini adalah apabila pelawaan berduet dalam lagu tersebut dilunaskan penyanyi tersohor, Datuk Jamal Abdillah.
“Saya dan Jamal sudah lama mengenali antara satu sama lain sebagai kawan dan rakan niaga.
“Beliau juga penyanyi idola saya. Setiap kali kami berjumpa, saya akan nyanyikan beberapa rangkap dalam salah sebuah lagu beliau sebelum jamal menyambungnya.
“Saya tak sangka pelawaan untuk berduet dalam lagu ini disambut baik Jamal. Sebaik sahaja hasrat itu saya nyatakan kepada beliau, dia terus minta saya hubungi Harry Khalifah untuk minta buat lagu,” katanya dalam satu kenyataan.
Amran dalam pada itu mengakui timbul rasa khuatir sekiranya dia merosakkan lagu tersebut kerana ketiadaan pengalaman sebagai penyanyi.
“Jamal meyakinkan saya yang saya boleh menyanyi. Selepas selesai rakaman lagu berkenaan, dia kata suara saya okey.
“Pada saya Datuk Jamal seorang yang sangat profesional dan saya selesa bekerja dengan beliau,” kongsinya.
Dalam pada itu, Amar memaklumkan dia tidak gentar sekiranya dikatakan menumpang populariti Raja Pop Malaysia itu.
“Saya tidak berniat untuk menjadi popular, jadi dalam hal ini, tiada istilah menumpang populariti.
“Dan populariti bukan perkara yang saya cari kerana saya seorang yang introvert dan tak mahu hilang privasi dalam hidup.
“Lebih baik orang kenal lagu ini berbanding saya. Harapnya lagu ini cepat popular kerana Jamal. Saya pasti aura dan populariti beliau akan memberi impak besar kepada lagu ini,” ujarnya. – UTUSAN