PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup diarahkan untuk menggandakan pemantauan dan penguatkuasaan menerusi Ops Pantau 2025 bagi memastikan bekalan keperluan rakyat sepanjang Ramadan dan Aidilfitri sentiasa mencukupi.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kementerian itu menggunakan strategi intervensi dilaksanakan segera bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sekiranya terdapat gangguan bekalan.
Beliau berkata, arahan itu dikeluarkan susulan pertemuan Perdana Menteri dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali bagi membincangkan isu-isu utama berkaitan kos sara hidup rakyat.
“Perdana Menteri turut menegaskan bahawa KPDN perlu lebih tegas dalam memastikan peniaga mematuhi Harga maksimum yang ditetapkan kerajaan, termasuk bagi barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan yang akan diumumkan kelak.
“Selain itu, Perdana Menteri juga mengarahkan pemantauan harga makanan di Bazar Ramadan dipertingkat bagi mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak wajar,” katanya pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Tunku Nashrul berkata, Perdana Menteri sendiri akan melawat beberapa Bazar Ramadan bagi melihat sendiri harga dan kualiti makanan secara langsung, di samping memberikan sokongan kepada peniaga-peniaga kecil.
“Beliau juga mengarahkan supaya ditingkatkan kekerapan Program Jualan Rahmah Madani sepanjang bulan Ramadan dan menjelang bulan Syawal,” katanya-UTUSAN