REMBAU: Pengacara dan pelawak terkenal, Nabil Ahmad menganggap tempoh dirinya direhatkan sebagai penyampai sebuah stesen radio ketika ini sebagai ‘percutian’ yang menginsafkan.
Nabil berkata, sepanjang tempoh tersebut, dia memberitahu, masanya juga lebih banyak ke masjid
“Sebenarnya satu percutian yang menginsafkan. Mula-mula tu trauma lah sikit tapi sudah lama-lama jadi macam ni pasti ada kebaikan yang datang daripada apa yang terjadi ini.
“Keadaan yang berlaku ni, kita tak sangka boleh jadi macam ni sampai direhatkan katanya ketika ditemui di pekan Rembau, di sini, hari ini.
Kongsinya lagi, dia juga menganggap insiden berkenaan juga mengeratkan kembali hubungannya dengan rakan-rakan lain yang sudah lama tidak berhubung.
“Ramai juga kawan-kawan lama tidak mesej, tidak tanya khabar, tetapi pasal hal ni orang-orang yang lama kita tak bertegur, tanya khabar hubungi kembali,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menyatakan sepanjang tempoh direhatkan berkenaan, dia bersama dua lagi penyampai yang direhatkan iaitu Azad Jasmin dan Radin saling memberikan sokongan serta motivasi.
“Sepanjang kejadian ini berlaku kami sentiasa bersama, saya beri semangat kepada mereka, mereka memotivasikan saya.
“Kami berbual, bercakap, kami selalu mesyuarat, kami selalu tenangkan diri. Saya, Radin dan Pak Azad, Alhamdulillah, kami dapat lalui benda ni sama-sama. Insya-Allah, kami akan dapat balik bekerja bersama-sama,” katanya.
Menurut anak kelahiran Mambau itu, kejadian itu banyak mendewasakannya dan mengajarnya untuk lebih merendah diri.
“Saya belajar daripada perkara yang kita tak tahu, sekarang sudah tahu, ke hadapan kita akan lebih berhati-hati. Ini kesedaran untuk kita semua, macam mana kita tak nak agama kita dipersendakan, sama juga dengan orang lain,” katanya.
Kongsinya lagi, keluarga, isteri serta anak-anak sangat membantunya melalui sepanjang tempoh direhatkan berkenaan.
“Semasa direhatkan ini juga, saya rasa saya juga sudah kena cari peluang berniaga, sebelum ni santai sangat, selesa. Banyak perkara yang saya dapat daripada insiden ini, insya-Allah doa-doakan saya untuk cuba-cuba mahu berniaga,” katanya.
Sebelum ini, Nabil, Azad dan Radin dihujani kecaman selepas video seolah-olah mempersendakan agama Hindu membabitkan mereka tular di media sosial.
Susulan kejadian itu, ketiga-tiga penyampai Era FM itu digantung tugas buat sementara waktu selain syarikat pengendali stesen radio berkenaan, Maestra Broadcast Sdn. Bhd. dikenakan kompaun sebanyak RM250,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC). – UTUSAN