JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mempercepatkan pelaksanaan projek tebatan banjir bagi mengurangkan risiko banjir.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, projek terbabit harus segera dilaksanakan bagi memastikan risiko banjir berulang yang sering melanda negeri ini dapat dikurangkan.
“Saya akan memastikan segala usaha yang dirancang dilaksanakan dengan segera demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat Johor,” katanya selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara, di sini hari ini.
Onn Hafiz berkata, keadaan banjir di Johor membimbangkan.
“Menurut laporan terkini, seramai 1,015 mangsa daripada 299 keluarga telah dipindahkan ke 11 PPS di tiga daerah yang terjejas, iaitu Johor Bahru, Kulai, dan Pontian. Saya menyeru seluruh rakyat Johor agar terus waspada dan mendengar arahan daripada pihak berkuasa supaya usaha pengurusan banjir di Johor berjalan lancar,” katanya. – UTUSAN