KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) tidak harus menuding jari menyalahkan Pakatan Harapan (PH) sedangkan parti itu yang bertindak meninggalkan PH Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin berkata, beberapa kenyataan yang dibuat oleh Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal juga jelas menunjukkan Warisan ingin menentang PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Beliau berkata, Warisan juga tidak boleh menuding jari menyalahkan PH kerana menyokong kerajaan negeri ketika cubaan Warisan dan UMNO menumbangkan kerajaan negeri Sabah dalam Langkah Kinabalu.
“Kita telah membentuk Kerajaan Perpaduan bersama dan PH lebih berminat untuk bersama membangunkan negeri ini berbanding mengambil langkah yang mengganggu gugat kestabilan politik seterusnya merencatkan usaha pemulihan ekonomi pasca Covid-19.
“Saya maklum Warisan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berlakunya Langkah Sheraton. Sokongan itu diberikan kerana Warisan tiada pilihan lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, Warisan yang mula bergerak solo dengan memilih bertanding pada PRN Johor dan kemudian pada PRU15, Warisan mula mengembangkan sayap dengan bertanding di Semenanjung.
Daripada lebih 50 kerusi yang ditandingi, Warisan jelas ditolak oleh rakyat dan hanya memenangi tiga kerusi Parlimen. – UTUSAN