Kurangkan guna laluan Gua Musang-Kuala Krai

Kurangkan guna laluan Gua Musang-Kuala Krai ketika pulang beraya

LALUAN Gua Musang-Kuala Krai dijangka mengalami kesesakan susulan kepulangan anak-anak Kelantan diperantauan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bermula Jumaat ini-UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis menasihatkan perantau dari Lembah Klang yang pulang ke Kelantan sempena Aidilfitri supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada laluan Gua Musang-Kuala Krai berikutan kerja pembinaan jalan yang masih belum selesai.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pengguna jalan raya perlu mempertimbangkan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan teruk.

“Nasihat saya kepada perantau, elakkan menggunakan laluan Gua Musang-Kuala Krai. Pilihlah laluan lain seperti Kuala Terengganu-Pasir Puteh atau Grik-Jeli kerana kerja-kerja pembinaan boleh menjejaskan kelancaran trafik,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Menurutnya, pihak polis akan menempatkan anggota di lokasi strategik bagi membantu melancarkan aliran trafik yang dijangka bertambah mendadak bermula Jumaat dan Sabtu ini.

Sebelum ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menganggarkan sekitar dua juta kenderaan akan memasuki negeri itu sempena Aidilfitri, berdasarkan rekod kemasukan kenderaan pada tahun-tahun sebelumnya melalui tiga pintu utama iaitu Pasir Puteh, Gua Musang dan Jeli.

Selain itu, JPJ Kelantan turut menggerakkan penggunaan dron bagi memantau pergerakan trafik dan memastikan kelancaran perjalanan pulang perantau menjelang sambutan Aidilfitri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN