PETALING JAYA: Perang dagangan, tarif dan sekatan telah berubah menjadi satu senjata dalam meluaskan dominasi, sentimen curiga dan saling tidak mempercayai telah menjejaskan asas kerjasama antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pasaran global pada masa ini hanya menyaksikan negara yang sebelum ini kawan, kini menjadi lawan atau proksi dalam persaingan pengaruh dan dominasi global.
Katanya, ketika persaingan antara Amerika Syarikat (AS) dan China mengganggu ekonomi, teknologi, dan perikatan di seluruh dunia, negara-negara kecil dan sederhana seringkali terpaksa memilih sesuatu pihak atau berisiko menjadi alat dalam permainan geopolitik yang lebih besar.
“Berikutan Order Baru Dunia yang sedang terbentuk, kita juga harus sedar cabaran yang semakin meningkat yang dihadapi negara-negara di seluruh Global South (Selatan Global).
“Banyak mekanisme yang pernah mendorong perkembangan mereka semakin lemah manakala konsep bantuan pembangunan semakin mendapat perhatian yang tinggi daripada beberapa negara paling berkuasa di dunia.
“Kebergantungan ekonomi, yang suatu ketika dahulu menjadi asas kemakmuran global, kini telah menjadi sumber ketegangan.
“Sekiranya trend ini berterusan, kesalinghubungan ini akhirnya menjadi rentan, malah kepada negara yang telah lama berkembang maju menerusi globalisasi,” kata Anwar dalam komentar bertajuk ‘Laluan Selatan Global ke Arah Ketahanan Ekonomi’ yang diterbitkan di laman web Project Syndicate semalam.
Kata Anwar, Malaysia sebagai negara yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa mengakui cabaran akan mengenai ketidakpastian dan perlindungan terutama dalam aspek untuk kekal menyesuaikan diri dan mempunyai keinginan tinggi.
“Bagaimanapun, kami tidak akan mengabaikan matlamat utama kami, pertumbuhan yang mampan, inklusif dan adil. Kami juga bertekad untuk memperteguh kedudukan sebagai pusat penting bagi perdagangan, pelaburan dan inovasi teknologi,” katanya.
Katanya, Malaysia membuat keputusan strategik untuk menyertai BRICS yang terdiri daripada ekonomi utama yang pesat membangun.
Beliau berkata, usaha untuk menjadi anggota BRICS meningkatkan hasrat untuk mengecilkan jurang perbezaan pembangunan antara Global South (Selatan Global) dan Global North (Utara Global).
“Tidak senada dengan dakwaan beberapa penganalisis, keputusan kami bukan mengenai memilih sesuatu pihak dalam persaingan Sino-Amerika. Sebaliknya, ia mencerminkan pemahaman yang jelas mengenai landskap geopolitik dan geo-ekonomi yang semakin berubah yang kami terlibat.
“Dengan mengadakan pembabitan dengan blok kuasa saingan dan mewujudkan pelbagai peluang ekonomi berdaya maju, kuasa pertengahan seperti Malaysia dapat membuka laluan kepada keamanan dan kemakmuran yang berkekalan untuk rakyatnya di Global South,” katanya.-UTUSAN