BAGAN SERAI: Perancangan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah di Kerian yang sebahagiannya akan digunakan untuk pembekalan air terawat ke Pulau Pinang kini di peringkat akhir.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek tersebut akan menyelesaikan masalah bekalan air bersih di kawasan yang terlibat.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan rakyat Perak kerana projek penyaluran air dari Sungai Perak.
“IIni adalah usaha besar pembangunan kita berhubung masalah bekalan air, ia masih menjadi masalah besar. Jadi kita dah putuskan sekarang di peringkat akhir perancangan.
“Kita baik pulih dan tambah keupayaan (penyaluran air) dari Sungai Perak dan salur terus Bukit Merah. Dari Bukit Kerah ke Kerian. Di Kerian, kekurangan air masih jadi masalah, jadi bekalan air utamanya bukan sahaja untuk Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP) yang merupakan kawasan pembangunan baharu tetapi juga untuk seluruh daerah ini (Kerian).
“Daripada situ, (penyaluran air) sampai ke Seberang Perai, Sungai Bakap. Bagi bekalan air untuk Pulau Pinang, ini merupakan jasa baik orang Perak, terima kasih banyak,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Perak di Sekolah Kebangsaan Dato’ Alauddin, Selinsing di sini hari ini.
Sebelum ini, Anwar pada Majlis Peluncuran Pelan Induk KIGIP di sini pada Ogos lalu mengumumkan Kerajaan Persekutuan secara dasarnya bersetuju meluluskan peruntukan dianggarkan RM4 billion bagi pelaksanaan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah di Kerian yang sebahagiannya akan digunakan untuk pembekalan air terawat ke Pulau Pinang.
Anwar menegaskan, projek ini harus dijadikan keutamaan untuk rakyat Utara Perak dan Seberang Perai kerana ia adalah penyelesaian masalah air jangka masa yang panjang.
Menurut kajian yang telah dilakukan, jika bekalan air di Perak dapat diuruskan dengan baik, ia boleh menyelesaikan dua masalah iaitu banjir dan keperluan bekalan air. Oleh itu, bekalan air dari Sungai Perak bukan sahaja cukup malah melebih.
Penyaluran air dari Sungai Perak akan mampu membekalkan air terawat ke utara Perak dan juga Pulau Pinang.
Projek tersebut akan menyelesaikan masalah bekalan air terutama bagi sektor pertanian yang kerap dihadapi di daerah Kerian iaitu Bagan Serai dan Parit Buntar. – UTUSAN