TAPAH: Perak memperuntukkan RM245,000 bagi tujuan menaik taraf infrastruktur lapan pertubuhan, rumah kebajikan kanak-kanak dan anak yatim di negeri ini untuk mereka dapat menjalani kehidupan yang selesa seperti insan lain.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, lapan organisasi itu ialah Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Dan Miskin Ar-Ridwani, Ipoh dengan peruntukan sebanyak RM45,500.
“Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-Anak Yatim Darul Aitam (Busarah) Temoh, Tapah (RM29,500), Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-Anak Yatim Darussalam, Ipoh menerima RM36,000.
“Selain itu, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Dan Miskin Dahikmah Gopeng (RM30,000), Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Tasawwur Islam Perak, Semanggol (RM30,000), Yayasan Anak Yatim Darussakinah, Teluk Intan (RM18,000).
“Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Dan Warga Miskin Bait Al-Amin, Parit (RM26,000) dan Badan Khidmat Islam Perak (BAKIP) sebanyak RM30,000,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan ucapan sebelum merasmikan Program Dari Mata Turun Ke Hati, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cakna Komuniti di Maahad Tahfiz Al Quran Al Ahmad, Tapah Road, Tapah di sini.
Yang turut hadir, Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal.
Saarani turut menyampaikan cek cura tanggungjawab sosial masyarakat SKM kepada enam maahad tahfiz dan persatuan di negeri ini dengan setiap satu RM1,000 dengan nilai keseluruhan RM6,000 bagi menampung kos operasi instisusi terbabit.
Enam maahad tahfiz dan persatuan itu ialah Maahad Tahfiz Al Quran Al Ahmad Tapah Road, Madrasah Tahfiz Firdaus Al-Warisi, Jalan Pahang, Tapah, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat ADDIN 4, Maahad Tahfiz Al-Quran Addin Air Kuning.
Selain itu, Maahad Tahfiz Darul Iman Sungkai dan Pertubuhan Kebajikan Yayasan Anak Yatim Piatu Darul Aitam. – UTUSAN