IPOH: Kerajaan negeri Perak melahirkan rasa terkejut dengan keputusan AirAsia untuk menghentikan laluan Ipoh-Singapura dan menuntut penjelasan daripada syarikat penerbangan tambang murah tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, tindakan itu menimbulkan tanda tanya sedangkan syarikat penerbangan Singapura, Scoot yang menyediakan sehingga empat kali penerbangan sehari antara kedua-dua lokasi mampu mencatatkan muatan penumpang yang tinggi.
“Apa sebabnya? Bukan tiada penumpang. Kita akan bincang dengan pihak AirAsia untuk laluan ini diteruskan. Yang ada penerbangan AirAsia dari Ipoh hanya ke Senai (Johor) sahaja.
“Kalau dapat beritahu sebab-sebabnya, kita akan lihat yang mana kerajaan negeri boleh bantu. Supaya dapat meneruskan laluan ini. Buat masa ini belum ada lagi perbincangan,” katanya kepada pemberita semasa program Pandu Berhati-hati dan Selamat di Aidilfitri di sini hari ini.
Sementara itu dalam program yang dihadirinya, Mohammad Nizar berkata Perak meletakkan sasaran untuk mengurangkan 50 peratus jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya berbanding angka 640 yang dicatatkan pada tahun lalu.
“Kalau tahun ini kita dapat kurangkan 50 peratus. Ia menjadi satu pencapaian yang baik. Itu merupakan sasaran,” katanya.
Tambahnya, meskipun jumlah pada 2024 itu menurun daripada 687 kematian pada 2023, usaha giat akan terus dilakukan oleh semua pihak berwajib.
Katanya, Perak merupakan antara negeri yang tertinggi dari segi kemalangan jalan raya dengan lebih 60 peratus kematian membabitkan pengguna motosikal.
Tambahnya, daerah Kinta yang meliputi Ipoh merupakan lokasi yang merekodkan jumlah kemalangan tertinggi selain Tapah, Bagan Datuk dan Selama.
Beliau tidak menolak faktor keadaan jalan raya turut menjadi sebab kemalangan, namun melihat sikap pemandu sendiri menjadi antara penyumbang terbesar. – UTUSAN