IPOH: Perak dan AirAsia akan membentuk sebuah jawatankuasa bersama bagi melakukan kajian kebolehlaksanaan laluan baharu untuk Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh.
Cadangan tersebut timbul susulan langkah syarikat penerbangan kos murah itu menghentikan laluan Ipoh-Singapura yang diumumkan pada dua minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, jawatankuasa itu akan turut dianggotai oleh agensi atau pihak berkepentingan terhadap perkhidmatan pengangkutan udara.
“Ia melihat potensi untuk memperkenalkan laluan baharu. Contohnya beberapa bandar di timur Malaysia. Tidak semestinya luar negara sahaja,” katanya semasa mengadakan tinjuan di LTSAS di sini hari ini.
Sze Yee berkata, kerajaan negeri terkejut dengan keputusan oleh AirAsia yang menghentikan laluan Ipoh-Singapura kerana boleh mempengaruhi peruntukan bagi meningkatkan kapasiti LTSAS.
Sebelum ini dilaporkan peruntukan sebanyak RM58 juta kepada LTSAS mampu meningkatkan kapasiti sehingga 700,000 penumpang setahun berbanding hampir 500,000 ketika ini.
Pihaknya kini menggandakan usaha meningkatkan trafik penumpang di lapangan tersebut dan perkara itu turut dikemukakan semasa pertemuan beliau dengan AirAsia serta syarikat penerbangan Singapura, Scoot beberapa hari lalu.
“Mungkin laluan dua poin (lokasi) sahaja agak sukar. Kita juga melihat untuk menjadikan Ipoh sebagai laluan transit (tiga poin),” katanya.
Semasa lawatan hari ini, pihak media dibawa melihat hasil kerja-kerja menaik taraf LTSAS yang hampir 100 peratus siap membabitkan penambahan seperti kapasiti di kaunter masuk, laluan Imigresen serta ruang menunggu. – UTUSAN