Penyanyi muda teruskan berkarya, saya bukan mahu bersaing - Utusan Malaysia

Penyanyi muda teruskan berkarya, saya bukan mahu bersaing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA Datuk Seri Siti Nurhaliza mengumumkan hadir dengan lagu Raya Nak Ke Mana? tahun ini, ada penyanyi muda yang ‘ketar lutut’ mahu mempertaruhkan hasil karya mereka. Di media sosial, ramai berkempen untuk lagu itu sehingga ada yang memberi julukan ‘Queen of Lagu Raya is back’ ketika lagu berentak zapin moden itu mula menemui pendengar kurang seminggu.

Biduanita Negara, hanya tersenyum mendengar respons itu. Dia tidak mahu kehadirannya membuatkan penyanyi dan komposer muda berasa tersaing. Sebagai seorang anak seni yang lebih senior, Siti hanya mahu memeriahkan suasana di samping memperjuangkan muzik tradisional dalam lagu raya nyanyiannya.

“Kalau dulu kita sukar dapat lagu raya yang meriah seperti sekarang. Kini, pendengar ada banyak pilihan untuk dengar lagu raya. Saya tidak pernah rasa ingin bersaing dengan sesiapa. Sekadar mahu memeriahkan suasana.

“Dengan lagu-lagu sebelum ini yang menjadi siulan, harapan dan jangkaan orang terhadap lagu raya saya juga semakin tinggi. Tapi di hati saya, setiap anak muda mempunyai kelebihan sendiri.

“Saya hanya mahu mengekalkan konsep lagu raya sebelum ini iaitu tradisional. Saya memilih kekalkan irama zapin menunjukkan kemeriahan seperti zaman Cindai, Nazam Lebaran dan lain-lain. Anak muda tidak mengapa, teruslah,” katanya.

Tahun ini sahaja, selain muzik pop, balada dan muzik tarian elektronik, banyak juga penyanyi muda yang turut mengetengahkan rentak zapin. Selain Siti Nurhaliza, Ernie Zakri dan Ara Johari juga menawarkan elemen budaya dalam lagu raya mereka.

Melihat kepada senario ini, Siti menganggap ia perubahan positif menandakan anak muda juga menghargai keindahan muzik tradisional di tengah evolusi lagu-lagu hari ini.

“Menyanyikan lagu tradisional memerlukan kemahiran. Kita kena selalu berlatih untuk dapatkan bunyi lenggok yang cantik. Lenggok ini pula tidak terikat, kita boleh jadi kreatif.

“Ada orang buat lenggok ala-ala arab macam orang mengaji, lenggok zapin dan ada juga lenggok dangdut. Bagi saya muzik sangat universal, asal kena ‘cangkuk’ mesti orang suka. Kadang ia jadi ikutan pula.

“Walau bagaimanapun saya puji penyanyi muda mahu bawakan lagu tradisional,” tambahnya.

Menurut Siti, sudah semestinya ada perbezaan pengalaman ketika bekerjasama dengan komposer muda seperti Aisha Retno berbanding Pak Ngah sebelum ini.

“Aura anak muda kita boleh lihat daripada lirik. Orang lama liriknya lebih melankolik dan berkias tapi Aisha lebih berterus terang dan tidak berbunga. Tidak mengapa, saya suka.

“Cara bekerja pula saya tidak ambil masa yang lama sebab lagu ini sudah senang untuk saya hayati. Cuma lenggok sahaja saya tambahkan dengan gaya yang biasa peminat dengar. Bekerja dengan Aisha menyeronokkan sebab dia juga beri kebebasan untuk saya lakukan apa yang saya mahu,” katanya.

Terkini, Raya Nak ke Mana? ciptaan Aisha Retno, RADi dan Amylea Azizan sudah memperoleh hampir 1 juta tontonan dalam tempoh seminggu dimuat naik di YouTube.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya