KUALA LUMPUR: “Nasihat saya, kena kuat tahan kecaman. Jangan disebabkan itu, mental jadi koyak hingga tersadai disebabkan tidak kuat untuk hadapi hentaman netizen.”
Demikian nasihat penyanyi veteran, Datuk Khadijah Ibrahim kepada Aina Abdul yang menerima hentaman hebat daripada warganet selepas Anugerah Juara Lagu 39 (AJL39) berakhir.
Menurut Khadijah, dia kagum dengan keberanian penyanyi lagu Puas Sudah itu untuk menonjolkan identiti dan bakatnya kepada umum melalui imej tersendiri.
“Pada saya dia mempunyai strategi pemasaran yang sangat bagus dalam menonjolkan bakatnya kepada umum. Masa dia masuk dalam industri, tiada siapa yang mengenalinya.
“Selepas kerap tampil dengan sesuatu yang berbeza, tarikan itu sudah menjadi identitinya sekali gus bakatnya dikenali ramai. Pengurus dan pereka fesyennya sudah menjalankan tugas dengan baik kerana tahu bagaimana mahu naikkan nama Aina,” katanya.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Ku Pendam Sebuah Duka itu turut menyifatkan Aina sebagai seorang yang berbakat besar dan perlu bertahan dalam industri muzik tanah air.
“Artis zaman dahulu tidak perlukan semua ini kerana mereka ada identiti, wajah dan stail tersendiri. Seperti Aina, dia memiliki bakat besar dan susah mahu dapat anak Melayu boleh menyanyi serta hasilkan lagu seperti Aina,” jelasnya.
Khadijah berkata perkara itu ketika ditemui di majlis pelancaran lagu raya penyanyi, Soma, baru-baru ini.
Selain Aina, Khadijah turut meluahkan rasa kagumnya terhadap artis baharu yang mempunyai kebolehan untuk menyanyi dan mencipga lagu seperti Ernie Zakri, Marsha Milan, Nadeera Zaini dan Hael Husaini.
Penyanyi itu berharap, mereka kekal lama dalam industri seni kerana berpotensi besar dalam bidang nyanyian dan gubahan lagu.
“Penyanyi seperti ini perlu bekerja lebih keras lagi dan saya berharap mereka tidak sekadar datang dan pergi. Saya kagum dengan pelapis muda yang berbakat,” ujarnya.-UTUSAN